Hari ini sambutan maulidur rasul.....
Sempena memperingati junjungan nabi aku membaca beberapa artikel yang boleh dijadikan pengajaran. Salah satu artikel yang aku baca ini diharapkan dapat dijadikan pengajaran kepada kita semua......
Rasulullah amat membenci mereka yang suka berbohong (menipu). Ia adalah perbuatan yang buruk di mata utusan Allah kesayangan kita ini. Menipu bukan sifat manusia beriman. Orang yang beriman kepada Allah, sama sekali tidak akan berbohong.
Sabda Rasulullah : ‘ bercakap benar walaupun ia pahit’.
Orang yang beriman kepada Allah tidak akan berbohong dan menipu. Apatah lagi berbohong kepada perkara-perkara yang benar. Menipu menjadi sifat orang-orang munafik dan kafir. Balasan akhirat kepada orang yang suka berbohong amat pedih sekali. Seksaannya bukan satu seksaan yang ringan tetapi ia adalah seksaan yang berat dan menyeksakan.
Kisah Seksaan Seorang Pendusta (Pembohong)
Ada sebuah kisah di dalam kitab Shahih Bukhari berkaitan seksaan kepada orang yang berbohong di akhirat. Kisah berkenaan adalah seperti berikut :
….Rasulullah S.A.W lalu bersabda :
“ tetapi malam tadi aku bermimpi. Aku didatangi oleh dua orang lelaki. Keduanya memegang tanganku dan membawaku keluar ke bumi suci. Tiba-tiba ada seorang lelaki sedang duduk dan seorang lagi lelaki sedang berdiri. Lelaki yang sedang berdiri itu memegang besi. Ia menusukkan besi itu pada rahang lelaki yang duduk hingga tembus ke tengkuk. Lalu melakukan hal yang sama pada rahang yang satunya. Kedua rahang itu remuk menjadi satu. Rahangnya kemudian pulih kembali seperti sedia kala dan lelaki itu kembali melakukan (penyiksaan) itu lagi”
Aku bertanya : “Apa ini?”
Kedua lelaki itu berkata : “Ayuh teruskan perjalanan”.
Aku katakan : “ Kalian berdua telah membawa aku berkeliling malam ini. Khabarkanlah kepada aku apa yang telah aku lihat”.
Keduanya menjawab : “baik”
“ Yang kau lihat dihancurkan rahangnya adalah seorang pendusta (pembohong). Ia berbicara dengan kedustaan. Kedustaan itu terus dibebankan padanya sampai setinggi ufuk. Ia akan diseksa sedemikian sehingga hari kiamat”.
(Rujukan daripada buku Di Atas Sajadah Cinta, Habiburrahman El Shirazy halaman 184&186)
Daripada kisah ini jelas menunjukkan bahawa seksaan kepada seorang pendusta (pembohong) adalah seksaan yang amat azab sekali.
Setiap Kebohongan Dicatat
Ada satu hadis ketika Rasulullah SAW dibawa kepada Aisyah RA pada malam pengantin. Mereka dihidangkan semangkuk susu. Rasulullah SAW minum dan kemudian bagi pada Aisyah RA. Kemudian disuruh bagi kepada Asma’ dan gadis-gadis yang lain. Asma’ menolak dengan alas an ia tidak lapar. Rasulullah menegur :
“ Jangan campurkan malumu dengan lapar dan jangan bohong kerana setiap kebohongan akan dicatat”.
Hadith ini menerangkan kepada kita bahawa setiap kebohongan yang dilakukan oleh kita akan dicatatkan dan ia akan diadili di akhirat kelak. Setiap kedustaan yang dilakukan oleh kita akan ditimbang dengan sewajarnya oleh Allah di akhirat kelak
Ciri-Ciri Orang Munafik
Sabda Rasulullah SAW :
3 sifat orang munafik ialah apabila ia diberi Amanah ia Khianat, Apabila ia beranji ia mungkir dan apabila kita berkata-kata ia berdusta.
Hadith ini menerangkan 3 sifat orang munafik iaitu khianat, mungkir janji dan berbohong. Setiap orang beriman, mestilah menjauhi sikap orang munafik seperti yang diterangkan di dalam hadis nabi ini. Muhasabah diri kita apabila sendiri sama ada kita tergolong di dalam salah satu sifat munafiq ini. Jika ada, bertaubat nasuha lah kerana Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.
Kesimpulan
Allah dan Rasulnya amat membenci orang yang suka berdusta. Amat banyak dalil-dalil di dalam Al-Quran dan Al-Hadis yang melaknat dan mengisahkan mengenai murka Allah kepada pendusta. Maka jauhilah sikap suka berkata dusta kerana ia perbuatan yang dibenci oleh Allah. Berkata benarlah walaupun ia pahit. Semoga kita menjadi hamba yang benar-benar menurut perintah dan larangan Allah.
Wallahualam.
~Tinta Emas~
~muhasabah diri~
Aku rasa cerita tadi terkena juga pada diriku....
Kekadang aku terpaksa berbohong....
Dan kekadang aku juga dibohongi....
Ya Allah.....ampunkan dosa hambaMu ini.....