MENU UTAMA

20/08/11

MALAM LAILATUL QADAR

““Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Para sahabat nabi risau kerana tidak dapat berjihad dan beribadat seperti umat terdahulu, misalnya Bani Israel yang berjihad selama 80 tahun. Lalu Allah menurunkan surah Al-Qadr untuk menenangkan para sahabat nabi yang risau itu dan pahala beribadat pada malam itu lebih baik dari 1000 bulan iaitu sekitar 84 tahun.
Al-Qadr [3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
Al-Qadr [4] Pada Malam itu, turun malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
Malam itu tidak panas dan tidak sejuk dan pada paginya matahari naik tidak banyak cahayanya kerana banyak malaikat turun naik pada malam itu:

Dan dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:“Malam al-Qadar adalah malam yang indah penuh kelembutan, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Manakala pada keesokan harinya sinar mataharinya kelihatan melemah kemerah-merahan.” (Hadis Riwayat ath-Thayalisi (394), Ibnu Khuzaimah (3/231), al-Bazzar (1/486) dan sanadnya hasan)

“Pagi hari (setelah) Lailatul Qadar, matahari terbit tidak menyilaukan (tanpa sinar), seakan-akan ia bejana sehinggalah ia meninggi.” (Hadis riwayat Muslim (762))

Setengah ulama mengatakan “Ruh” yang turun pada malam itu ialah Jibril berdasarkan ayat yang menyebut “RohulQudus” ialah malaikat Jibril.

Baqarah [87]….dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Mariam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Rohulqudus (Jibril).

Antara kelebihan Lailatul Qadar ialah malaikat yang berada di Sidratul Muntaha turun ke bumi dengan izin Allah pada malam itu. Sidratul bererti pokok bidara manakala Muntaha ialah sempadan iaitu sempadan sebelah atas langit, selepas langit yang ke tujuh. Semasa peristiwa Isra’ Mikraj, malaikat Jibril hanya boleh menghantar Rasulullah s.a.w. hingga setakat pokok bidara ini sahaja.

An-Najm [13] Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, [14] Di sisi “Sidratul-Muntaha”; [15] Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”.

Manakala setengah ulama lagi mengatakan ia adalah satu malaikat yang kakinya berada di bawah lapisan ke tujuh bumi dan kepalanya di Arasy, mempunyai 1,000 muka, dan setiap muka mempunyai 1,000 mulut, setiap mulut bertasbih (mengucapkan Subhanaalah) dalam bahasa yang berlainan. Apabila ia bertasbih, semua malaikat lain sujud kerana takutkan Allah. Dikatakan malaikat yang turun akan merayau-rayau seluruh dunia dan masuk ke rumah orang Islam serta memberi salam kecuali kepada 3 golongan:
•Orang Islam yang makan babi
•Orang Islam yang derhaka kepada ibubapa
•Orang Islam yang memutuskan silaturrahim

Pada malam itu malaikat turun bersama 4 panji-panji iaitu 4 bendera yang diletakkan di 4 tempat iaitu:
•Satu bendera diletakkan di atas Maqam nabi.
•Satu bendera diletakkan di Baitul Maqdis
•Satu bendera diletakkan di Baitullah
•Satu bendera diletakkan di Bukit Thur

Bilakah waktunya?
Pada mulanya Rasulullah s.a.w. telah mendapat tahu tentang bilakah malam Lailatulqadar, namun belum sempat Baginda hendak memberitahu sahabat, Baginda terlupa kerana melihat dua orang sahabat sedang bertengkar.

“Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kamu berkenaan Lailatul Qadar, tetapi ada dua orang sedang berselisih sehingga pengetahuan berkenaannya tidak diberikan. Mudah-mudahan ini lebih baik bagi kamu, carilah di malam 29, 27, 25 (dan dalam riwayat lain, pada malam ke tujuh, sembilan dan lima).” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/232))

Nabi s.a.w. menyuruh umatnya mencari Lailatulqadar pada 10 malam terakhir, terutamanya malam-malam ganjil. Allah suka pada yang ganjil (witir). Allah suka pada sembahyang yang ganjil bilangannya seperti sembahyang witir.

Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Carilah Malam Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir. Dalam hadis yang lain yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: Carilah Malam Lailatul Qadar pada malam ganjil 10 hari yang terakhir.

Waktu lailatulqadar tidak sama antara satu tempat dengan tempat lain. Imam Ghazali mempunyai formula untuk mengira lailatulqadar berdasarkan hari mula puasa mengikut pengalamannya. (mungkin boleh dipakai di Malaysia kerana tempat beliau di Iran atau Iraq tidak jauh dari sini)

Jika Awal Ramadhan (1 Ramadhan) jatuh pada hari :
[1] Ahad atau Rabu – Malam Lailatul Qadar dijangka akan berlaku pada malam ke-29 Ramadhan;
[2] Isnin – Malam Lailatul Qadar dijangka akan berlaku pada malam ke-21 Ramadhan;
[3] Selasa atau Jumaat – Malam Lailatul Qadar dijangka akan berlaku pada malam ke-27 Ramadhan;
[4] Khamis – Malam Lailatul Qadar dijangka akan berlaku pada malam ke-25 Ramadhan;
[5] Sabtu – Malam Lailatul Qadar dijangka akan berlaku pada malam ke-23 Ramadhan.

Cara Nabi mendapatkan lailatul qadar
Dari Aishah Radiallahu-Anha ia berkata :
Bahawasanya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam beriktikaf pada sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan, sehinggalah baginda wafat, kemudian para isteri baginda meneruskan amalan beriktikaf selepas kewafatannya.

Kebiasaannya Nabi Muhammad s.a.w. beriktikaf dengan memasuki masjid pada petang 19 Ramdahan selepas waktu Asar. Iktikaf bererti berhenti di masjid, berhenti dari segala urusan dunia, disertai niat untuk berhenti di dalam masjid sambil melakukan amalan seperti membaca al-quran, bertasbih dan sembahyang. Isteri-isteri Baginda pula beriktikaf di rumah masing-masing iaitu di tempat yang biasanya mereka bersembahyang. Hukum iktikaf pada 10 akhir Ramadahan ialah fardu kifayah dalam mazhab Hanafi dan sunat muakkad dalam mazhab Syafie.

Nak buat apa pada malam itu?
Usaha, dapatkan dan carilah Lailatulqadar. Bangunlah kira-kira dalam pukul 2-3 pagi dan buatlah apa-apa ibadat pun seperti berzikir, sembahyang, membaca quran.

Nak minta apa jika bertemu malam itu?
Siti Aisyah r.a. juga bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang doa apakah yang perlu diminta jika bertemu Lailatulqadar. Jawab baginda bacalah “Allahumma innaka ‘afuwwun karim, tuhibbull ‘afwa , fa’fu ‘anni, seperti yang selalu dibaca selepas sembahyang tarawikh.

Telah diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa dia bertanya, “Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mendapat Lailatul Qadar (mengetahui terjadinya), apa yang mesti aku ucapkan?” Beliau menjawab,

“Ucapkanlah, Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan Mencintai orang yang meminta ampunan, maka ampunilah aku.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3760), Ibnu Majah (3850) dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha. Sanadnya sahih)

Share this from :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan